mutakhir

Mohd Nasir Pengerusi baharu MPB

Oleh Alzahrin Alias

MEDIA Prima Bhd (MPB) melantik Datuk Mohd Nasir Ahmad sebagai Pengerusi Kumpulan dan Lembaga Pengarah syarikat media bersepadu itu berkuat kuasa hari ini.

MPB dalam satu kenyataan turut mengumumkan pelantikan Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin sebagai Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif dan Mohd Rashid Mohd Yusof sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Media Prima.

Mohd Nasir mula menjadi Ahli Lembaga Pengarah Media Prima pada 26 Februari 2016.

Beliau adalah Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif dan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Interim pada 21 Mei lalu.

Kenyataan itu berkata, Lembaga Pengarah menjalankan proses pemilihan yang teliti untuk mengisi jawatan berkenaan dan percaya Mohd Nasir adalah calon paling sesuai untuk menerajui kumpulan itu di dalam usaha untuk menjadi syarikat kandungan dan perdagangan digital utama negara.

Dengan pelantikan baru itu, Mohd Nasir akan meletakkan jawatan yang dipegang sebelum ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit Kumpulan, Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan dan Ahli Lembaga Pengarah Synchrosound Sdn Bhd.

Beliau turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Risiko, dan kekal sebagai Pengerusi Sistem Televisyen Malaysia Bhd.

Mohd Nasir mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di dalam bidang kewangan, perakaunan dan pengurusan. Beliau yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia adalah Fellow Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) United Kingdom dan Akauntan Bertauliah dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Memulakan kerjayanya sebagai Akauntan Pelatih dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 1979 sebelum memegang pelbagai jawatan di dalam Bahagian Kewangan.

Beliau juga berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd sejak 2001 sehingga bersara pada 1 Jun 2011.

Selain itu, Mohd Nasir juga berada di dalam Lembaga Pengarah CIMB Group Holdings Bhd, CIMB Bank Bhd, Mimos Bhd, SIRIM Bhd dan Prokhas Sdn Bhd.

Beliau adalah Pengerusi UKM Holdings Sdn Bhd, Pengerusi SIRIM Tech Venture Sdn Bhd dan ahli Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia selain menjadi ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Canselor UNITEN.

Bagi Raja Zaharaton pula, beliau menyertai Lembaga Pengarah MPB pada 13 Ogos 2015 dan dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Ekonomi daripada University of Leuven, Belgium, sudah berkhidmat selama 34 tahun dalam perkhidmatan awam dan jawatan terakhirnya adalah sebagai Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi dengan pengkhususan dalam analisis polisi dan penilaian kewangan.

Mohd Rashid yang dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit, Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan, dan Ahli Lembaga Pengarah Sistem Televisyen Malaysia Bhd.

Beliau mempunyai berpengalaman luas di dalam bidang kewangan, perakaunan dan pengurusan adalah ahli ACCA serta pernah memegang pelbagai jawatan di dalam Petroliam Nasional Bhd (Petronas), antaranya sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Engen Limited, Ketua Kewangan Kumpulan, Ketua Audit Dalaman Kumpulan, dan Naib Presiden Rantaian Bekalan dan Pengurusan Risiko Petronas.

Mohd Rashid juga adalah ahli Lembaga Pengarah Scicom (MSC) Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan UMW Oil and Gas Corporation Bhd.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 10:09pm
d