mutakhir

Mohamed Pengerusi MAINS baharu [METROTV]

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

AHLI Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein dilantik sebagai Pengerusi MAINS yang baharu berkuatkuasa semalam.

Beliau yang juga ahli Lembaga Fatwa Kerajaan Negeri itu dilantik setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ahli MAINS, Datuk Dr Abd Aziz Sheikh Abd Kadir pula dilantik sebagai timbalan beliau.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata, perlantikan itu mampu membantu MAINS memacu ke arah yang lebih cemerlang dan berdaya saing pada masa akan datang.

Katanya, sebelum ini jawatan itu dipegang oleh Menteri Besar namun Enakmen yang dipinda pada tahun 2012 lalu menyebut bahawa jawatan itu tidak semestinya dipegang oleh Menteri Besar.

“Kali ini saya membuat perubahan apabila melantik Pengerusi untuk menguruskan pentadbiran dan hal ehwal MAINS dan saya berharap usaha ini dapat membantu untuk terus mencapai kecemerlangan majlis ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MAINS di Menara MAINS di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Yusof Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.

Aminuddin berkata, walaupun berlaku perubahan itu, namun kerjasama antara MAINS dan kerajaan negeri terus berjalan seperti biasa.

Sementara itu beliau berkata, MAINS akan memberi sumbangan Aidilfitri kepada seramai 1,374 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM500.

Katanya, sumbangan yang akan diserahkan selepas sambutan Aidilfitri itu membabitkan peruntukkan sebanyak RM687,000.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 10:11pm
d