mutakhir

Api marak di ruang tamu

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Luluh hati saya sebaik melihat keadaan rumah yang terbakar tetapi saya reda jika itu suratan takdir,” kata Nor Aishah Mat Nor, 54.

Rumahnya di Kampung Kuala Sawah, Chuah di sini, terbakar jam 9 pagi semalam, ketika dia keluar ke rumah saudara tidak jauh dari situ.

Katanya, sebaik dimaklumkan jiran mengenai kebakaran itu, dia bergegas pulang kerana suaminya, Mohd Kamal Supardi, 57, dua anak berusia 16 dan 20, serta tiga cucu lelaki berusia tiga hingga enam tahun sedang tidur.

“Tetapi sebaik sampai di rumah, saya bersyukur kerana mereka semua sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui.

Nor Aishah berkata, walaupun semua persiapan menyambut Aidilfitri termasuk baju raya hangus dalam kejadian itu, tetapi baginya nyawa lebih penting.

Sementara itu, suaminya, Mohd Kamal berkata, dia terdengar jeritan anak lelakinya, Hasanudin, 20, dan segera bangun untuk melihat keadaan.

“Ketika itu api mulai marak di bahagian depan ruang tamu, manakala asap tebal memenuhi ruang rumah.

“Keadaan kelam-kabut dan kami hanya memikirkan keselamatan ahli keluarga sehingga tidak sempat menyelamatkan harta benda,” katanya.

Katanya, rumah separuh papan didiaminya itu peninggalan ibu bapanya dan baru saja diubah suai setahun lalu dengan kos sebanyak RM40,000.

“Saya menjangkakan punca kebakaran mungkin akibat litar pintas namun masih menunggu laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya yang menganggarkan jumlah kerugian RM260,000.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 11:11am
d