mutakhir

10 didakwa tipu warga emas RM26,000 [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Kampar: Sepuluh lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap dua pertuduhan menipu seorang lelaki warga emas membabitkan nilai wang RM26,000 pada awal Februari lalu.

Tertuduh yang semuanya rakan sekerja adalah Phang Jun Wei, 19, Tee Kwee Ming, 19, Dickson Chok Kim Leong, 19, Lau Siew Kiat, 22, Calvin Chan Wai Lam, 24, Kenny Ling Leong Chuong, 27, Law Wee Soon, 28, Tan Ban Yap, 30; Ooi Chin Leng, 31 dan Lee Kian Yew, 32.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara berasingan kerana berpakat jahat jenayah untuk memperdaya Then Kin Yeem, 65, hingga mendorong mangsa menyerahkan RM23,000 di sebuah bank di sini, jam 12.45 tengah hari pada 5 Februari lalu.

Pertuduhan kedua, mereka juga didakwa secara berasingan kerana berpakat jahat memperdaya mangsa sama di lokasi dan tarikh sama pada jam 1.31 tengah hari untuk menyerahkan RM3,000.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 120B (1) Kanun sama iaitu penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah dikenakan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Oon Kork Chern di hadapan Majistret Nur Faizah Mohamad Saleh.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 11:18am
d