mutakhir

Guru ditipu RM100,000

Oleh Shahrinnahar Latib

MAHU membuat pinjaman peribadi sebanyak RM20,000 tetapi perlu bayar sehingga RM108,380. Itu terjadi kepada seorang guru di Pekan apabila diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud di laman sosial Facebook.

Kejadian bermula pada pertengahan April lalu apabila mangsa berusia 43 tahun tertarik dengan iklan pinjaman peribadi dipromosikan di Facebook atas nama Pinjaman Peribadi Koperasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian meletakkan nombor telefonnya di ruang komen bagi memudah pihak koperasi berkenaan menghubunginya.

"Pada 30 April lalu, mangsa dihubungi seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Miss Celine dari Syarikat Al Ariyah Enterprise yang menawarkan pinjaman peribadi.

"Selepas membuat perbincangan dan mangsa menyerahkan gambar beberapa dokumen, suspek berkenaan bersetuju menawarkan pinjaman peribadi kepada mangsa sebanyak RM20,000 dengan bayaran bulanan RM433.33 selama lima tahun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang bersetuju dengan tawaran berkenaan membuat beberapa kali transaksi wang untuk pelbagai caj dikenakan pihak terbabit, bermula 3 Mei sehingga Sabtu lalu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM108,380, wang berkenaan kononnya untuk tujuan kelulusan pinjaman berkenaan namun selepas transaksi dibuat, mangsa menyedari dia sudah ditipu sindiket itu.

"Mangsa yang tidak berpuas hati menghubungi Telelink Bank Negara Malaysia (BNM) yang menasihatkannya membuat laporan polis.

“Dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, semalam," katanya.

Katanya, modus operandi sindiket ini adalah memperdayakan mangsa dalam urusan pinjaman wang sehingga dia memasukkan sejumlah wang bagi tujuan berkenaan.

"Polis sudah merakam percakapan mangsa dan suspek sudah dikenal pasti berdasarkan akaun bank diberikan sindiket itu untuk membolehkan mangsa memindahkan wang berkenaan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 11:31am
d