mutakhir

Rempuh pagar

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Rantau Panjang: Kesesakan teruk di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta sikap pengguna yang tidak sabar menyebabkan pagar kompleks berkenaan dirempuh sebuah lori, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, keadaan sukar dikawal berikutan sikap penunggang motosikal yang bersesak untuk masuk ke Thailand.

Ketua Jabatan Imigresen Rantau Panjang Irwana Abdul Zaman berkata, ketika kejadian keadaan begitu sesak sehingga pihaknya membuka sebahagian lorong lori bagi membenarkan motosikal melaluinya sekali gus melancarkan pergerakan.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian bagi mengurangkan kesesakan dan pada masa sama mahu memastikan kawalan imigresen tidak terabai.

“Namun ketika lori dari arah Rantau Panjang mahu masuk ke Golok, Thailand, puluhan motosikal yang berada di sini tidak mengelak dan enggan memberi laluan kepada lori.

“Saya sendiri dan beberapa pegawai berada di lokasi dengan dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sudah mengarahkan mereka ke tepi dan memberi laluan kepada lori, namun mereka enggan berbuat demikian sebelum lori berkenaan merempuh pagar kerana mengelak motosikal,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 11:43am
d