mutakhir

Konon puasa tapi buat maksiat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MENGAKU puasa, tapi berdua-duaan di dalam bilik hotel dengan hanya memakai tuala.

Itu antara dakwaan pasangan yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah di empat hotel bajet di Seri Kembangan, di Serdang, hari ini.

Malah, semasa pemeriksaan dilakukan menemui beberapa tin minuman keras serta kondom yang sudah digunakan di dalam beberapa bilik hotel berkenaan.

Seorang daripada wanita yang ditahan berusia 22 tahun mengaku pelajar dari sebuah universiti awam memaklumkan dia dan pasangannya berusia 24 tahun mendaftar masuk ke hotel berkenaan sejak malam tadi.

Dia yang berasal dari Kelantan mengaku berpuasa, namun pemeriksaan lanjut menemui beberapa tin minuman keras di dalam bilik yang dihuni bersama pasangannya berasal dari Sarawak.

Dia mendakwa mengenali pasangannya sejak setahun lalu melalui aplikasi WeChat.

Bagaimanapun, tindakan mereka yang ragu-ragu untuk menjawab soalan daripada anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mencetuskan persoalan sama ada mereka adalah pasangan kekasih atau wanita itu terbabit dalam aktiviti pelacuran.

Dalam serbuan yang dijalankan oleh JAIS dengan kerjasama anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu, seramai lima pasangan berusia 21 hingga 33 tahun ditahan.

Ketua operasi, Sharizwan Sharip berkata, lima pasangan terbabit mengaku mendaftar masuk sejak malam tadi dan awal pagi ini.

“Difahamkan mereka membayar serendah RM50 untuk tiga jam atau kira-kira RM100 untuk satu malam bagi sebuah bilik di hotel bajet berkenaan.

“Semua yang ditahan dibawa ke pejabat JAIS di Shah Alam untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 29 (1) a & b Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 2:21pm
d