mutakhir

Gantung operasi serta-merta

Oleh Audrey Dermawan

OPERASI syarikat sukan perairan yang terbabit dalam kemalangan jet ski sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki, di Batu Ferringhi, di Georgetown, Ahad lalu, digantung serta-merta.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Yew Tung Seang berkata, tindakan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat dianggotai jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian terbabit, pagi tadi.

“Penggantungan operasi syarikat dibuat bagi memberi laluan kepada siasatan terperinci berhubung kejadian.

“Kedua-dua jet ski yang terbabit dalam kemalangan juga sudah disita bagi tujuan siasatan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, mangsa, Jordan Phang Wen Jie, 9, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, maut akibat kecederaan serius pada tulang belakang.

Ia susulan jet ski yang dinaiki mendiang bersama penyelamat pantai bertembung dengan sebuah lagi jet ski dipandu ibunya di Pantai Batu Ferringhi.

Yew berkata, sudah menjadi tanggungjawab pihak MBPP untuk memastikan keselamatan semua aktiviti sukan air di Batu Ferringhi, terjamin.

“Peraturan dan panduan sudah diletakkan di sana untuk dihayati semua pihak. Bagaimanapun, kita sedih dengan kejadian ini dan menunggu siasatan kes diselesaikan untuk mengenal pasti punca.

“Ada yang menyatakan ia ekoran ombak kuat, manakala ada pihak mendakwa ia susulan kelalaian. Justeru, kita perlu tunggu hasil siasatan terlebih dulu,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kemalangan maut pertama [METROTV]

'Budak maut, jet ski bertembung'

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 4:41pm
d