mutakhir

Pengerusi SPR undur diri...

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah akan memendekkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi SPR berkuat kuasa 1 Julai ini.

SPR berkata, pemendekan tempoh perkhidmatan itu sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan dimaklumkan melalui surat daripada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara bertarikh 7 Jun lalu.

“Pemendekkan tempoh perkhidmatan itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui surat rasmi bertarikh 11 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Hashim mula menyertai SPR pada 5 September 2014 sebagai Timbalan Pengerusi dan dilantik sebagai Pengerusi pada 24 Januari 2016.

SPR turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih Mohd Hashim atas khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan di SPR.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 6:13pm
d