mutakhir

MPK sita dua premis judi [METROTV]

Oleh Ayusliza Azizan

AKIBAT menyalahgunakan lesen perniagaan Majlis Perbandaran Klang (MPK), dua premis yang dipercayai dijadikan pusat judi disita dalam operasi di Pekan Kapar, Klang, hari ini.

Dalam serbuan pada 3.30 petang itu, sebanyak 15 mesin judi dirampas daripada kedua-dua premis berkenaan.

Setiausaha MPK Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, dua premis berkenaan didapati mempunyai lesen perniagaan pusat hiburan bagi permainan dart dan snuker.

“Bagaimanapun premis berkenaan menjalankan perniagaan perjudian menggunakan mesin slot.

“Justeru, pihak MPK bertindak menyita dua premis berkenaan selain turut merampas mesin judi,” katanya ketika ditemui pada operasi berkenaan.

Adi Faizal berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pemilik premis bagi tindakan menyenarai hitam akibat melanggar peraturan yang ditetapkan.

Katanya, difahamkan premis berkenaan sudah enam bulan beroperasi.

“Biasanya premis itu beroperasi pada waktu malam, bagaimanapun kita dapati ia turut beroperasi pada waktu siang.

“Mungkin mereka tidak menyangka pihak MPK akan menjalankan operasi pada hujung Ramadan ini,” katanya.

Menurutnya, sehingga bulan ini, MPK sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 72 buah lokasi dan sebanyak 16 premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen disita.

Katanya, pemilik lesen diingatkan agar menjalankan perniagaan selari dengan kebenaran lesen yang dikeluarkan.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 6:22pm
d