mutakhir

KPDNKK Selangor terima 518 aduan GST sifar [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menerima 518 aduan membabitkan sifar peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan 1 Jun lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya Azman Adam berkata, kebanyakan aduan membabitkan penjualan harga makanan di restoran.

“Ada restoran yang sudah potong GST pada resit mereka tetapi tidak memotong harga dengan sepenuhnya.

“Contoh, harga makanan berjumlah RM10.60. Apabila GST sudah tiada, harga makanan itu sepatutnya dijual pada harga RM10. Namun, peniaga jual pada harga RM10.30 atau RM10.50 sedangkan dalam resit mereka letak GST sifar.

“Semalam, kita juga ada keluarkan notis terhadap sebuah restoran makanan segera apabila kita dapati harga tidak sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemantauan Kawalan Harga Musim Raya Puasa Tahun 2018 di sebuah pasar raya di Seksyen 13, Shah Alam, hari ini.

Azman berkata, pihaknya menasihatkan peniaga supaya tidak melengahkan penurunan harga barangan susulan GST sifar.

“Memang betul kita beri tempoh sehingga hujung bulan ini tetapi ia membabitkan tanda harga sahaja.

“Mungkin item dalam sebuah pasar raya banyak dan mengambil masa. Kita beri peluang untuk betulkan harga barangan selepas tanpa GST,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, setakat ini pihaknya sudah membuat pemeriksaan terhadap 2,525 buah premis yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) membabitkan 69,788 item atau barangan.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi peraturan ditetapkan atau bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

“Pesalah individu didenda sehingga RM100,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan kedua, selain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda RM500,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1,000,000 bagi kesalahan kedua,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 6:46pm
d