mutakhir

'Najib tidak perlu tegakkan benang yang basah'

Oleh Nur Lela Zulkipli

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng menyelar tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seolah-olah mahu menegakkan benang yang basah berhubung jumlah sebenar hutang negara.

Guan Eng berkata, banyak hutang kerajaan yang dijamin sebelum ini terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sekarang.

“Najib dilihat sentiasa menekankan fakta hutang secara langsung kerajaan iaitu sebanyak RM687 billion bersamaan 50.8 peratus sedangkan kerajaan kini perlu menanggung hutang yang dijamin kerajaan terdahulu.

“Jadi, apabila Najib menggunakan laporan Moody’s (agensi penarafan antarabangsa) sebagai alibi bahawa hutang negara tidak mencecah RM1 trilion, beliau hanya menegakkan benang yang basah,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, mengambil contoh 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat pelaburan strategik berkenaan tidak mampu untuk melangsaikan hutang dan kerajaan kini terpaksa menanggung segala bebanan itu.

“1MDB sudah bankrap. Jadi, siapa yang perlu membayar semua hutang itu? Sudah pasti kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap Najib kerana masih enggan mengakui bahawa hutang negara melebihi RM1 trilion.

“Kita tak mahu jadi seperti katak di bawah tenpurung, cuba sembunyi keadaan sebenar. Kita harus berani berdepan hakikat supaya dapat bersama-sama selesaikan hutang negara yang besar,” katanya.

Laporan Moody's hari ini mengekalkan anggaran beban hutang langsung kerajaan Malaysia pada kadar 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sama seperti 2017 lalu.

Dalam laporan bertajuk 'Kerajaan Malaysia: Soalan lazim mengenai implikasi kredit dasar kerajaan baharu', agensi itu berkata, penilaian terhadap risiko liabiliti luar jangka yang ditimbulkan oleh institusi awam sektor bukan kewangan juga tidak berubah meskipun terdapat beberapa kenyataan yang dibuat oleh pentadbiran kerajaan semasa.

“Bagaimanapun, tindakan kerajaan mengkaji semula projek infrastruktur berskala besar yang mendapat manfaat daripada pinjaman dijamin kerajaan terdahulu dan hutang tertunggak daripada dana kerajaan, 1MDB akan memainkan peranan penting dalam menentukan risiko yang timbul dari liabiliti luar jangka kepada profil kredit,” kata agensi itu.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 10:47pm
d