mutakhir

Polis Pahang pantau 'bookie' Piala Dunia

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang memantau pergerakan individu dan premis perjudian yang berpotensi menjadi ‘bookie’ sempena kejohanan Piala Dunia Russia 2018 yang bermula malam ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, berkata pemantauan itu turut membabitkan pertaruhan yang di buat di atas talian oleh ‘bookie’ profesional di negeri ini.

“€œSaya fikir sekarang mereka (bookie) guna kaedah online untuk kutip wang pertaruhan dan membuat pertaruhan bagi kaki judi... taktik ini bagi mengelak dikesan polis.

“Bagaimanapun, pasukan kita iaitu Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) IPK Pahang akan melakukan pengawasan dari pelbagai sudut bagi memastikan aktiviti ini tidak menular di Pahang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosli berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Bukit Aman yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam membanteras kegiatan ‘bookie’ bola sepak sejak sekian lama.

Katanya, sebarang maklumat risikan yang diterima akan disalurkan kepada Bukit Aman untuk tindakan susulan termasuk menyerbu premis yang dikenal pasti menjalankan kegiatan perjudian bola sepak.

“Buat masa ini kita tidak terima maklumat mengenai aktiviti ini (pertaruhan Piala Dunia) dijalankan di Pahang... orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada kami.

“Mereka yang terbabit dengan kegiatan pertaruhan sama ada menerima atau membuat pertaruhan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 11:20am
d