mutakhir

'Mata-mata' lebuh raya

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

Kuala Lumpur: Gambar dan video disalurkan ‘mata-mata’ lebuh raya mengenai pelbagai kesalahan, termasuk penggunaan lorong kecemasan boleh digunakan sebagai bukti untuk mengeluarkan saman.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bukti yang diambil oleh pengguna jalan raya lain menerusi kamera telefon atau perakam dalam kenderaan itu akan diteliti, sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

“Anda boleh kirimkan menerusi e-mel atau saluran berkaitan kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk kita teliti dan ambil tindakan selanjutnya.

“Saman akan dikeluarkan jika kita mendapati bukti berkenaan mempunyai asas,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Sempena Aidilfitri, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk Ahmad Nasir Abdul Ghani; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

Tinjauan udara selama sejam itu dimulakan merangkumi jajaran PLUS sehingga Tapah dan kawasan sekitar Jalan Duta bagi meneliti corak pertambahan kenderaan menjelang Aidilfitri pada Jumaat ini.

Anthony berkata, statistik kemalangan direkodkan di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS sejak pelancaran Ops Bersepadu 8 Jun lalu menyaksikan kadar penurunan yang mendadak, iaitu hanya dua kes kematian berbanding 14 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

“Perangkaan Ops Bersepadu bagi tempoh lima hari menyaksikan 83 kes penyalahgunaan lorong kecemasan direkodkan dan saman sudah dikeluarkan terhadap semua pemilik kenderaan terbabit.

“Kita memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya tidak menyalahgunakan lorong kecemasan hanya kerana alasan nak cepat sampai ke destinasi dituju, sedangkan laluan itu disediakan untuk waktu getir terutama oleh pemandu ambulan jika wujud sebarang kes kemalangan.

“Pusat Tinjauan Trafik (TMC) yang beroperasi dari Persada PLUS sentiasa memantau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sebarang kesalahan oleh pengguna jalan raya akan dimaklumkan ke JPJ dan polis untuk tindakan lanjut.

“Jangan ingat anda bebas melakukan kesalahan walaupun menerusi pandangan mata kasar tiada kereta peronda atau pegawai penguat kuasa di jalan raya kerana ada yang sentiasa memerhati,” katanya.

Mengulas hasil tinjauan udara, Anthony berkata, keadaan trafik setakat petang tadi masih terkawal walaupun jumlah kenderaan yang memasuki lebuh raya bagi memulakan perjalanan ke kampung dijangkakan meningkat daripada 1.9 juta kepada 2.2 juta.

Peningkatan mendadak mulai lepas waktu berbuka itu, katanya, didorong tawaran diskaun kadar tol sebanyak 50 peratus sehingga esok yang diberikan secara serta-merta, berbanding kaedah rebat kepada semua pengguna lebuh raya.

“Laluan kontra sebagai kaedah penyuraian trafik akan dibuka di beberapa lokasi ‘panas’ yang dikenal pasti sering berlaku kesesakan, justeru pemandu dinasihati untuk sentiasa mengawasi jarak selamat kenderaan dan aliran daripada arah bertentangan.

“Selain itu, beberapa larangan menggunakan lebuh raya dikeluarkan bagi kenderaan mengangkut barang kategori satu, termasuk lori berkapasiti berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kilogram dikuatkuasakan pada 13, 14, 23 dan 24 Jun ini sebagai langkah keselamatan.

“Kenderaan kategori dua, iaitu lori kontena dan kargo mengangkut barangan elektronik dari kawasan industri pula hanya dibenarkan beroperasi serta menggunakan lebuh raya pada jam 6 pagi hingga 12 tengah malam untuk tempoh sama.

“Kren bergerak dan lori pembancuh simen bagi kategori ketiga hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang dalam jarak 25 kilometer dari tapak pembinaan, tertakluk kepada had masa operasi yang dbenarkan di jalan tertentu,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 11:36am
d