mutakhir

Lelaki tua beraya di pinggir hutan

Oleh Mohd Latif Ahmad

LELAKI warga emas, Zulkiple Pauzi, 63, terpaksa hidup bergelandangan di pinggir hutan berdekatan Jalan Stephen Yong di Kuching, sejak dua tahun lalu.

Penderitaan Zulkiple yang dikenali sebagai Pak Zul itu sangat meruntun hati kerana dia menetap bersendirian di situ dalam keadaan yang cukup daif dengan hanya berteduh menggunakan khemah sahaja.

Lebih menyedihkan, sambutan Aidilfitri yang bakal tiba ini menjadi hari raya ketiga yang diraikan beliau di pinggir hutan itu.

Pak Zul ketika ditemui NSTP mendakwa nasib malang menimpanya itu berpunca akibat tindakan isteri dan anaknya yang menghalaunya keluar dari rumah mereka di Samariang, Petra Jaya.

Dengan nada hiba, Pak Zul berkata, dia menerima seadanya nasib yang menimpa dan tidak pernah ‘terasa hati’ selepas dihalau hanya kerana berlaku perselisihan faham dengan keluarga.

“Tidak apalah, saya reda dengan apa yang berlaku kerana sudah dua kali Aidilfitri saya berada di sini, di bawah pondok ini.

“Syukurlah dengan kehidupan di sini untuk saya terus hidup. Apa lagi yang mampu saya buat?” katanya ketika ditemui di pondok daif yang didirikan bersebelahan sebatang anak sungai di kawasan itu.

Bagai jatuh ditimpa tangga, Pak Zul ketika ini sekadar mampu berjalan dengan bantuan tongkat akibat mengalami keretakan tulang paha.

Katanya, dia bakal pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), pada 24 Jun ini, untuk merawat keretakan pada kakinya itu.

“Saya harap semua berjalan baik-baik sahaja,” katanya ringkas sambil menghela nafas panjang.

Nasib Pak Zul mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, yang datang membantu menghulurkan bantuan makanan dan keperluan asas kepadanya.

“Saya akan memberi sokongan pada Pak Zul ketika menjalani pembedahan di HUS nanti. Semoga Pak Zul selamat dan sentiasa sihat,” kata Khere Chiang.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 2:27pm
d