mutakhir

Niat beraya bersama ibu tak kesampaian

Oleh Omar Osman

HASRAT seorang lelaki berusia 22 tahun untuk pulang beraya bersama ibunya tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Gurun, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Faiz Mohd Jamlus, 22, dipercayai terlanggar belakang lori sebaik tiba di tempat kejadian menyebabkan motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas di tengah jalan.

Rakannya, Abdullah Abdul Munir, 24, berkata, ketika kejadian itu dia bersama Muhammad Faiz menunggang motosikal secara berasingan untuk pulang berhari raya di Alor Setar.

Menurutnya, pada waktu itu, Muhammad Faiz berada agak jauh di hadapan mengekori sebuah lori namun tiba-tiba melihat motosikal arwah hilang kawalan sebelum terbabas ke tengah jalan.

“Saya yang terkejut melihat kejadian itu segera memberhentikan motosikal di tepi dan berlari ke arah arwah bagi membantunya malah ketika itu saya dapati tubuhnya masih berada di motosikal namun arwah sudah tidak bernafas.

“Ketika kejadian arwah mahu pulang beraya bersama ibunya di Taman Sri Abadi, Kuala Kedah dan saya mahu pulang ke Alor Merah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdullah Abdul berkata, dia dan arwah sudah lama berkawan dan bekerja sebagai penyelia di Pelabuhan Kuantan, Pahang - mereka bertolak dari sana jam 10 malam semalam.

“Kami sempat singgah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Selangor untuk bersahur dan tidur sebentar sebelum menyambung perjalanan pulang ke Alor Setar.

“Saya sedih kerana hasrat arwah nak beraya bersama ibunya tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, kemalangan berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas di tengah lebuh raya.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang untuk pulang ke rumahnya di Alor Setar,,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 4:02pm
d