mutakhir

Terseluk poket polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG wanita dari Indonesia sanggup meninggalkan negaranya dan tinggal di ibu negara sepanjang bulan puasa semata-mata hendak melakukan kegiatan seluk saku.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan wanita berusia 30-an berkenaan, sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatannya itu berakhir apabila ditahan polis selepas cuba menyeluk saku barangan anggota polis yang mengumpannya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, wanita itu ditahan di Bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, 12 Mei lalu pada jam 5.30 petang.

“Beberapa anggota polis berpakaian biasa menyamar untuk mengumpan suspek yang berada di sebuah premis di lokasi berkenaan.

“Wanita itu mengekori anggota polis berkenaan sebelum cuba menyeluk saku untuk mengambil barangan berharga anggota sebelum berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Shaharudin berkata, hasil soal siasat dilakukan, wanita itu mengakui datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk melakukan kegiatan seluk saku di Jalan Tunku Abdul Rahman sepanjang Ramadan.

“Kami tidak menolak kemungkinan wanita itu sudah beberapa kali ke negara ini untuk melakukan kegiatan itu pada setiap kali Ramadan.

“Suspek kini masih ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan dokumentasi,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya turut menahan seorang wanita warga Indonesia yang juga penduduk terap berusia 58 tahun di Jalan Tunku Abdul Rahman, 9 Mei lalu pada jam 1.50 tengah hari.

“Ketika ditahan, kami menemui beberapa dompet milik mangsa dan wang tunai hasil kegiatan seluk saku di sekitar lokasi berkenaan.

“Berdasarkan rekod, wanita itu pernah ditahan beberapa kali oleh pihak polis atas kesalahan sama sebelum ini,” katanya yang memaklumkan kedua-dua tangkapan itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Katanya, bagi tempoh sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima sebanyak 1,117 kes seluk saku di daerah itu.

“Pada 1 Jahuari lalu hingga semalam, sebanyak 447 kes seluk saku dilaporkan. Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap individu di sekeliling ketika membeli belah kerana ada individu yang menjadi mangsa kegiatan seluk saku, terutama di kawasan dipenuhi orang ramai,” katanya.

Dalam majlis itu, Shaharudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi menahan penyeluk saku di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 5:24pm
d