mutakhir

Lelaki mabuk belasah keluarga

Oleh Fardy Bungga dan Hazsyah Abdul Rahman

HANYA kerana gagal menemui dompet miliknya, seorang lelaki bertindak membelasah sebelum mengugut akan membunuh ahli keluarganya sekiranya perkara itu dilaporkan kepada polis dalam kejadian di Kampung Sugut, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, suspek berusia 20-an yang berada dalam keadaan mabuk dikatakan bertindak memecahkan barang-barang di rumah keluarganya sebelum perbuatannya itu ditegur oleh kakaknya.

Bagaimanapun, teguran itu membuatkan suspek bertambah marah dan terus mencekik serta menumbuk kakak kandungnya yang berusia 28 tahun walaupun ketika itu sedang menyusukan anak.

Menurut sumber, ketika kejadian suspek turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan ibunya yang tidak membenarkannya bercerai dengan isteri.

Katanya, abang suspek berusia 34 tahun yang menyedari kejadian itu cuba membantu namun turut dibelasah sebelum dipukul menggunakan kerusi plastik sehingga pengsan.

“Walaupun pengsan, suspek yang juga anak bongsu keluarga terbabit dikatakan terus memukul abang kandungnya menggunakan sebatang kayu beluti di bahagian belakang sebelum cuba mencari ibu dan kakaknya.

“Ibu dan kakak suspek yang ketakutan terus melarikan diri bersama bayi ke kawasan semak berhampiran. Suspek kemudiannya menjerit akan membunuh mereka sekeluarga jika laporan polis dibuat sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Menurutnya, akibat daripada kejadian itu, kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan lebam di badan dan benjol di kepala akibat dipukul.

Difahamkan, suspek sudah beberapa kali melakukan perkara yang sama terhadap ahli keluarganya sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Shivananthan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Bagaimanapun katanya, laporan itu sudah ditarik semula oleh pengadu sendiri.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 5:58pm
d