mutakhir

Hari ini adik pula 'menyusul'...

Oleh Nor Amalina Alias

“BEBERAPA tahun sebelum ini, abang arwah meninggal dunia dalam kemalangan pada malam hari raya Aidilfitri di Johor.

“Hari ini adiknya pula. Tak sangka, dua anak saya maut di malam dan pagi raya,” kata Ismail, bapa kepada Muhammad Rashdan yang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Melor ke Ketereh, di Kampung Buluh Poh, Ketereh, Kota Bharu, hari ini.

Pada kejadian jam 5.15 pagi itu, Muhammad Rashdan meninggal dunia selepas Honda EX5 ditunggang bertembung dengan Yamaha SS.

Kejadian turut menyebabkan penunggang Yamaha SS, Mohamad Nurissyam Mohd Syamri, 16, meninggal dunia.

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat parah.

Ismail, 50-an, berkata, sebelum kejadian, Muhammad Rashdan baru saja keluar dari rumah di Belukar Luas, Kok Lanas.

"Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui NSTP.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika kejadian, Muhamad Rashdan menunggang motosikal dari arah Melor ke Ketereh.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan motosikal ditunggang Mohamad Nurissyam.

"Dipercayai, ketika itu, kedua-dua motosikal berada pada kelajuan tinggi mengakibatkan mereka tidak sempat membrek dan berlaku pelanggaran secara berhadapan

"Kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan dan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk pengebumian.

Disiarkan pada: June 15, 2018 @ 1:29pm
d