mutakhir

Tak pasal-pasal kena raya di hospital

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

AKIBAT salah faham, lelaki terpaksa meraikan Hari Raya Aidilfitri di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas tangan kanannya patah akibat dibelasah jiran pada 4 Jun lalu.

Danial Yusri Aiman Rus Zaiman, 22, berkata, dia tidak tahu apa punca sebenar salah faham itu dan masih trauma akibat dibelasah oleh lima suspek ketika berada di surau Taman Inderapura, Kuantan, pada malam kejadian.

"Saya pun tidak pasti apa punca hingga mengakibatkan mereka memukul dan memijak tangan hingga patah.

"Memang saya mengenali mereka dan tidak sangka mereka sanggup bertindak memukul saya walaupun saya tidak langsung melawan," katanya ketika ditemui di HTAA, dekat sini, hari ini.

Danial Yusri Aiman berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini paling tidak bermakna kerana terpaksa menghabiskan masa di dalam wad bagi menjalani rawatan.

Katanya, walaupun tidak dapat mengunjungi saudara untuk beraya, namun tetap bersyukur kerana dapat menjalani rawatan lebih sempurna oleh doktor pakar di hospital terbabit.

Sementara itu, ibu Danial Yusri Aiman, Sabareeya Pooyang, 56, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian menimpa anaknya itu dan berharap tindakan tegas boleh diambil oleh pihak berkuasa terhadap semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

"Saya difahamkan lima suspek itu sudah ditahan, namun tidak tahu kesudahan kes ini, sama ada (suspek) dibebaskan atas jaminan polis atau sebaliknya.

"Saya mahukan keadilan dan berharap mereka (suspek) menerima hukuman setimpal dengan perbuatan mereka," katanya.

Jurucakap polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan masih diteruskan.

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 1:56pm
d