mutakhir

Terima kasih abang bomba

Oleh Rohaida Omar

AKIBAT masalah tekanan air rendah, pihak Masjid An Nur di Guchil 3, Kuala Krai, terpaksa mendapat khidmat bantuan bomba untuk membekalkan air, hari ini.

Imam masjid, Zakaria Omar, 49,berkata, kedudukan masjid yang terletak di kawasan tinggi menyebabkan mereka sering berdepan masalah air sejak awal tahun ini.

Katanya, masalah itu mengakibatkan jemaah tidak dapat mengambil wuduk untuk menunaikan solat berjemaah di masjidi tu.

“Lebih menyukarkan keadaan apabila di bulan Ramadan dan Syawal, apabila jumlah jemaah bertambah berbanding hari biasa.

“Pada bulan ini sahaja, sudah lima kali termasuk hari ini kami mendapatkan bantuan daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai membawa bekalan air

“Alhamdulillah, setiap kali dihubungi, mereka tetap datang membantu menyediakan bekalan air untuk kegunaan jemaah di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak masjid sudah mengadakan perbincangan dengan pihak AKSB untuk menyelesaikan masalah bekalan air itu.

“Kami difahamkan, mereka (AKSB) sedang menguruskan perkara itu dan akan menyelesaikannya dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, kami merancang untuk menggunakan telaga tiub, cuma peruntukan masih belum mencukupi, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Razani Mamat dari BBP Kuala Krai berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.10 pagi sebelum dia bersama enam anggota ke masjid terbabit.

“Sebaik tiba, kami membantu mengisi kolah dari tangki bomba sebagai khidmat masyarakat untuk kegunaan jemaah mengambil wuduk,” katanya.

Gambar Ihsan bomba

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 5:18pm
d