mutakhir

Pecah pintu selamat nenek

Oleh Zaid Salim

WARGA emas diselamatkan daripada rentung selepas jirannya memecahkan pintu rumah di Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Ketika kejadian 8.20 malam itu, nenek berusia lebih 80 tahun itu tinggal bersendirian di rumah berkenaan dan dikatakan sedang tidur dalam biliknya.

Mangsa, Abdul Salam Hussin, 26, berkata, warga emas yang juga jirannya tinggal bersebelahan rumah mereka diselamatkan selepas kediaman yang didiami mangsa bersama ibu, Khadijah Embong, 66, dan bapa, Hussin Abd Rahman, 71, terbakar.

Katanya, kejadian itu menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas keseluruhan kediaman setingkat berusia lebih 40 tahun itu hangus.

“Syukur, kami sempat menyedari nenek terbabit berada di rumahnya selepas pulang untuk berhari raya sebelum penduduk memecahkan pintu rumah yang berkunci dari dalam.

“Biasanya dia tidur di rumah anak-anaknya tetapi sebab nak sambut Aidilfitri dia balik ke rumahnya,” katanya ketika ditemui NSTP di lokasi kejadian.

Abdul Salam berkata, kebakaran itu bermula dari bilik adiknya, Zulhilmi, 25, dipercayai angkara api mercun yang masuk menerusi tingkap bilik yang terletak di tingkat atas rumah berkenaan.

“Adik yang kebetulan berada di luar biliknya terdengar bunyi mercun roket masuk ke dalam biliknya dan pada masa sama terdengar bunyi dua lagi mercun roket di udara.

“Sebaik terdengar bunyi mercun dalam bilik, adik terus menjenguk ke bilik dan terkejut melihat api sudah membakar tilam dan sebahagian ruang dalam bilik itu yang dipenuhi dengan pakaian dan barangan miliknya.

“Cemas dengan keadaan itu dia kemudian memaklumkan kepada kakak, Asma, 29, yang berada dalam biliknya di tingkat atas sebelum mereka bergegas ke tingkat bawah untuk memaklumkan kepada semua adik-beradik,” katanya sambil menambah kerugian dianggarkan hampir RM100,000.

Abdul Salam yang bekerja dengan koperasi sekolah agama swasta di Kampung Laut, Kuala Terenttanu berkata, ketika kejadian dia bersama adik-beradik, ipar dan anak saudara termasuk ibu dan bapanya berada sedang bersembang di tingkat bawah selepas menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 antara Perancis menentang Australia.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia segera keluar dari rumah dan ternampak api sedang marak di tingkat atas kediaman mereka.

“Api memang besar dan sekelip mata bahagian atas yang dibuat dengan kayu hangus.

“Kalau hari biasa hanya saya dan ibu bapa sahaja yang tinggal di rumah ini tetapi ketika kejadian adik-beradik yang tinggal di luar termasuk Johor Bharu, Kuala Lumpur dan Selangor pulang menyambut Aidilfitri.

“Syukurlah kami semua tidak mengalami kecederaan dan sempat keluar rumah bagi menyelamat diri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mereka tinggal sehelai sepinggang apabila kesemua barangan termasuk pakaian, peralatan elektrik dan dokumen penting tidak dapat diselamatkan.

Katanya, turut hangus dalam kejadian itu, wang tunai miliknya dan ibu lebih RM3,000 serta duit raya milik anak saudaranya.

Abdul Salam berkata, bapanya yang bekerja sebagai penjual ikan baru membina bahagian depan rumah banyak barangan baharu dibeli antaranya televisyen bersaiz 40 inci dan beberapa telefon bimbit.

Sementara itu, Hussin ketika ditemui mendakwa api mercun berkenaan dipercayai dari rumah jiran yang tinggal bersebelahan di hadapan rumahnya.

“Memang ketika kejadian, mereka yang baru dua hari tinggal di situ bermain mercun dan saya mendengar bunyi tiga mercun roket dilepaskan.

“Hanya kedengaran dua sahaja meletup di udara manakala satu lagi tiba-tiba senyap,” katanya yang bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.

Gambar Zaid Salim

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 7:42pm
d