mutakhir

'Si pencuri' akhirnya dicekup

Oleh Rohaida Omar

MISTERI kehilangan ayam peliharaan di Kuala Krai kini terjawab apabila ‘si pencuri’ berjaya ditangkap, hari ini.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, pemilik ayam, Muhammad Zikri Mat Junoh, 29, dari RPT Ulu Kelantan, Batu Mengkebang, terkejut dengan kehadiran kucing hutan di dalam reban ayam miliknya.

Katanya, dia kemudian mengunci pintu reban sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai untuk tindakan lanjut.

“Sebelum ini, saya kerap kehilangan ayam dan menjumpai ayam mati dengan kesan gigitan di leher.

“Akhirnya persoalan saya terjawab dengan penemuan ‘si pencuri’ yang selama ini menjadi misteri,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Kanan Bomba II, Mohd Razani Mamat dari BBP Kuala Krai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.19 petang sebelum dia bersama tiga anggota ke lokasi kejadian.

“Kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap kucing hutan itu dengan penjerut kerana haiwan itu agak agresif.

“Haiwan liar itu kemudian dilepaskan di kawasan ladang kelapa sawit jauh daripada penempatan manusia” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 9:55pm
d