mutakhir

Trafik sesak ke KL [METROTV]

Oleh Nor Azizah Mokhtar

ALIRAN trafik dari semua arah menghala ke Kuala Lumpur dijangka terus meningkat sehingga lewat malam hari ini, susulan warga kota yang sudah habis bercuti sempena Aidilfitri pulang semula ke ibu negara untuk memulakan tugas esok.

Jumlah kenderaan di beberapa lebuh raya utama negara untuk ke ibu negara sudah pun menunjukkan pertambahan sejak siang tadi, dengan aliran trafik perlahan mula dilaporkan perlahan sejak jam 11 pagi tadi.

Setakat 9.30 malam tadi, trafik dilaporkan perlahan di Lebuhraya Karak dari Kilometer (KM) 62 ke KM50 Barat dari Bentong ke Lentang dan dari KM28 hingga ke Plaza Tol Gombak Barat arah ke pusat bandar.

Laman Twitter Lebuhraya Pantai Timur, @LPTTrafik, melaporkan keadaan trafik perlahan di laluan terbabit berlaku sejak petang tadi dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga tengah malam ini dan awal pagi nanti.

Sementara itu, keadaan trafik juga dilaporkan perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke ibu negara dari arah utara dan selatan.

PLUS menerusi laman Twitter, @plustrafik, melaporkan trafik kini perlahan dari arah Ipoh ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah ke Simpang Pulai terus ke Gopeng, Gua Tempurung terus ke Sungkai dan dari Bukit Beruntung ke Rawang.

Aliran trafik perlahan juga dilaporkan di Terowong Menora menghala ke Jelapang seterusnya ke Changkat Jering.

Selain itu, jumlah kenderaan turut meningkat di laluan Jitra ke Alor Setar (selatan), Pendang ke Gurun, Sungai Petani (utara) ke Sungai Petani (selatan), Juru ke Jawi terus ke Bandar Baharu dan Bukit Merah ke Taiping.

Trafik turut perlahan dari arah selatan ke ibu kota dan ke Johor. Beberapa kemalangan turut dilaporkan berlaku di sepanjang lebuh raya berkenaan, yang menjejaskan kelancaran trafik.

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 10:46pm
d