mutakhir

Alhamdulillah... ditemui selamat

Oleh Nor Amalina Alias

KANAK-KANAK yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kampung Aur,Telong, Bachok, malam tadi, ditemui merayau oleh orang awam.

Mohd Azim Iqram Mohd, 7, dikatakan berjalan bersendirian di sekitar pantai itu sebelum ditemui pada 10.50 malam.

Dia kemudian diserahkan kepada polis di Balai Polis Cherang Ruku,Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan pada 8.56 malam berhubung mangsa yang dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Kampung Aur, Bachok.

Katanya, Azim yang tinggal di Selangor pulang bercuti di Bachok sempena Aidilfitri.

"Ketika siasatan, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan kanak-kanak itu oleh orang awam di kawasan pantai terbabit.

"Ibu bapanya sudah ke balai terbabit untuk mengambil anak mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dengan penemuan kanak-kanak itu, kes dianggap selesai.

"Pada masa sama, saya turut menasihati orang awam agar menjauhi kawasan pantai berikutan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 12:32am
d