mutakhir

Pecah pintu selamat warga emas

Kuala Terengganu: Pintu rumah didiami seorang warga emas berusia lebih 80 tahun terpaksa dipecahkan bagi menyelamatkannya daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Kuala Bekah di sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian jam 8.20 malam, nenek terbabit tinggal bersendirian di rumah berkenaan dan dikatakan nyenyak tidur di biliknya.

Mangsa, Abdul Salam Hussin, 26, berkata, dia berasa lega selepas warga emas yang juga jiran sebelah rumahnya itu dapat diselamatkan walaupun rumah yang didiami bersama ibu, Khadijah Embong, 66, dan bapa, Hussin Abd Rahman, 71, turut terbakar.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas keseluruhan kediaman berusia lebih 40 tahun itu hangus.

“Syukur, kami sempat menyedari nenek terbabit berada di rumahnya selepas pulang berhari raya sebelum penduduk memecahkan pintu rumah yang berkunci dari dalam,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 9:57am
d