mutakhir

Disangka babi hutan, rupanya...

Oleh Mohd Roji Kawi

LELAKI maut selepas terkena tembakan rakannya ketika mereka memburu di kawasan hutan di Sungai Engkelulut, Pakan, Julau, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan rakannya yang berusia 36 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada rakan mangsa yang juga suspek pada 5.15 petang semalam.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan suspek, mereka memasuki hutan itu pada 10 pagi dengan masing-masing membawa selaras senapang patah.

"Setibanya di kawasan bukit, mereka berdua berpecah dan berjanji akan bertemu di kawasan Sungai Kauh selepas selesai memburu.

"Bagaimanapun, ketika berjalan di denai hutan itu, suspek ternampak pergerakan di dalam semak dan dia melepaskan satu das tembakan selepas yakin ia adalah babi hutan," katanya.

Soon Kuai berkata, selepas diperiksa suspek terkejut apabila mendapati dia tertembak rakannya sendiri.

"Suspek bergegas balik semula ke rumah panjang mereka untuk memaklumkan kejadian itu dan meminta bantuan penduduk membawa mayat mangsa keluar dari hutan dan dihantar ke Rumah Panjang Saban," katanya.

Katanya lagi, sepasukan anggota polis kemudian ke lokasi kejadian yang terletak jauh di pedalaman dan memerlukan perjalanan melalui jalan balak selama tiga jam.

"Suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 6.15 petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 12:45pm
d