mutakhir

Pesanan untuk calon Presiden UMNO

Oleh Noorazura Abdul Rahman

CALON yang bertanding jawatan Presiden UMNO perlu menilai kemampuan diri masing-masing berikutan mereka perlu menggalas tanggungjawab besar sekiranya dipilih memegang jawatan nombor satu parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jawatan itu perlu dipimpin oleh mereka yang berpengalaman bagi mengembalikan kekuatan parti dan kepercayaan rakyat.

"Ahli-ahli biasa yang bertanding jawatan presiden wajar memberi laluan kepada calon tertentu sahaja yang mempunyai kriteria sebagai pemimpin, mereka perlu lihat di mana 'level' mereka dan siapa mereka.

"Jika semua mahu bertanding jadi masalah juga, memang kita sudah mengamalkan dasar terbuka tapi kita perlu juga tengok kemampuan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, UMNO tetap terbuka sekiranya parti itu dipimpin orang muda berpengalaman asalkan mampu memberi nafas baru kepada UMNO.

Katanya , beberapa calon yang bertanding jawatan presiden iaitu pemangku Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin adalah calon pemimpin yang berkaliber dan mempunyai kelebihan masing-masing.

NSTP semalam melaporkan, tujuh borang pencalonan diterima bagi pemilihan jawatan Presiden UMNO selepas waktu serahan borang tamat pada 5 petang.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia jumlah tertinggi dalam sejarah parti bagi pemilihan jawatan tertinggi itu.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 2:10pm
d