mutakhir

Siasat skandal tapak Bazar Ramadan [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya berkaitan dakwaan skandal salah guna kuasa dan penyelewengan tapak Bazar Ramadan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau meminta SPRM menyiasat kes berkenaan sehingga ke 'lubang cacing' dan membawa dalangnya ke muka pengadilan.

"Saya tidak akan bertolak ansur jika wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa berhubung kes berkenaan sama ada dari ahli parti atau saya sendiri.

“Saya buat laporan kepada SPRM hari ini kerana ia berkait rapat dengan aduan Bazar Ramadan Bukit Bintang di mana ada pengantara dan pembabitan serta salah guna kuasa dan nama parti untuk mendapatkan tapak itu," katanya pada sidang media di luar bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Katanya, tidak kira siapa yang bersalah dalam kes berkenaan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan secepat mungkin.

Ditanya apa bentuk tindakan terhadap individu yang dikaitkan dengan kes berkenaan, Syed Saddiq berkata, beliau tidak boleh membuat spekulasi mengenai perkara itu sebaliknya menyerahkan kepada polis dan SPRM untuk melakukan siasatan lanjut.

"Saya juga difahamkan, Ketua Pemuda PPBM Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abd Karim turut membuat laporan polis bagi mempertahankan hak beliau," katanya.

Setakat ini, katanya, pihaknya sudah membuat dua laporan polis masing-masing pada 14 Jun lalu dan semalam bagi meminta pihak berkuasa menyiasat kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan bagi mendapatkan 80 tapak bazar di Jalan Masjid India pada Ramadan lalu.

Difahamkan, tapak bazar itu kemudian disewakan semula sehingga RM5,000 bagi satu lot dan dianggarkan penganjur mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 7:47pm
d