mutakhir

Media sosial penyambung silaturahim

Oleh Betty Subaryati

SELEPAS berpisah hampir 35 tahun, kira-kira 40 bekas pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Chap, Bachok bertemu semula dalam majlis silaturahim di Kota Bharu, semalam.

Majlis perjumpaan semula bekas pelajar tahun 1978 hingga 1983 diatur oleh seorang daripada bekas pelajar terbabit.

Pengerusi majlis, Wan Azmi Wan Ahmad berkata, program yang meriah itu diadakan di dewan kantin sekolah berkenaan yang dihadiri 35 bekas pelajar dan lima bekas guru yang berkumpul sempena cuti Aidilfitri.

Katanya, majlis itu adalah perjumpaan kali pertama diadakan selepas berjaya menjejaki bekas pelajar sekolah itu menerusi media sosial termasuk WhatsApp dan Facebook.

"Sebagai penganjur, saya mendapati majlis itu mencapai objektif penganjuran apabila mempertemukan semula rakan lama, dan mampu mengeratkan hubungan persahabatan yang lama terputus.

"Pada program itu, kami saling bertukar hadiah dan sumbangan sebagai kenangan, " kata Wan Azmi yang juga pegawai baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Beliau berkata, media sosial amat berguna pada masa ini jika digunakan pada kebaikan termasuk menjejaki rakan yang lama terpisah.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 11:56am
d