mutakhir

Mohon bantuan baik pulih rumah remaja lumpuh dihempap konkrit

Sungai Petani: Sukarelawan terdiri daripada individu dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memohon bantuan orang ramai untuk bersama-sama meringankan beban membaik pulih rumah remaja kurang upaya yang lumpuh akibat dihempap konkrit enam tahun lalu.

Penyelaras Projek yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Sayang Sungai Petani Kamaruddin Kassim berkata, proses baik pulih rumah Aziana Shaari, 14, dijangka bermula Rabu ini dan mengambil masa sehingga hujung bulan untuk disiapkan.

Katanya, bagi fasa pertama kerja membaik pulih akan bermula di bahagian dapur bagi memudahkan ibu dan ahli keluarga Aziana menguruskannya termasuk untuk ke tandas.

“Kita sudah melancarkan dana ini sejak lima hari lalu dan sehingga kini kita memperoleh sebanyak RM6,600.

“Bagaimanapun, kita mengharapkan dana sekurang-kurangnya RM35,000 bagi membaik pulih rumah keluarga ini.

“Daripada pemerhatian dan tinjauan yang dijalankan, struktur rumah mereka tidak sesuai dihuni kerana tiada jaminan keselamatan memandangkan rumah tidak mempunyai tiang dan alang,” katanya.

Kamaruddin berkata, fasa A dijangka mengambil masa selama seminggu namun bergantung keadaan cuaca dan proses akan diteruskan ke fasa seterusnya iaitu di ruang tamu dan bilik tidur.

“Setakat ini keperluan yang kita lihat adalah kawasan dapur kerana sering dimasuki air setiap kali hujan.

“Kita harap dengan usaha dilakukan ini dapat memberi keselesaan kepada Aziana dan keluarganya,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Maybank bernombor 552189516026 atas nama Persatuan Sayang Sungai Petani atau menghubungi Kamaruddin di talian 011-23811568

Sebelum ini Harian Metro pernah melaporkan mengenai kepayahan hidup seorang remaja yang hanya mampu terbaring dan terpaksa bergantung sepenuhnya dengan ibunya, Fatimah Hashim, 47, yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Kejadian malang yang menimpa remaja berkenaan berlaku ketika Aziana cuba memetik buah mangga dengan memanjat dinding rumah setinggi dua meter sebelum terjatuh hingga menyebabkan dirinya dihempap konkrit.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 11:58am
d