mutakhir

Menyamar pegawai JPJ

Oleh Hasbi Sidek

“JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) menafikan pengakuan seorang individu yang mengaku sebagai pegawai JPJ seperti yang tular di media sosial baru-baru ini,” menurut kenyataan Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik Ibu Pejabat JPJ.

Kenyataan itu menyebut, lelaki yang mengaku pegawai jabatan berkenaan dalam video yang tular memaparkan seorang lelaki diasak pelbagai soalan kerana mengambil penumpang, bukan kakitangannya.

Dalam beberapa siri video yang tular sejak beberapa hari lalu memaparkan seorang lelaki mempertikaikan tindakan ‘pegawai’ berkenaan mengambil penumpang tanpa lesen dan meletakkan kenderaan di tempat letak teksi dipercayai berlaku di Melaka.

Tindakan lelaki berkenaan mencemarkan imej JPJ dan perkhidmatan awam lain.

“Ini susulan beberapa siri video yang tular turut merakam pengakuan individu terbabit mengaku sebagai pegawai JPJ apabila diasak pelbagai soalan berkaitan perbuatannya yang dipercayai meletak kenderaan di tempat menunggu penumpang (teksi),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JPJ ingin menegaskan bahawa individu serta kenderaan berkenaan tiada kaitan langsung dengan JPJ.

“Pihak JPJ memandang serius perkara ini dan berharap agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

“Orang ramai turut dinasihati supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang berita palsu serta isu yang tidak benar tanpa mendapatkannya daripada sumber yang sah,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 5:35pm
d