mutakhir

Johor mahu penerbangan JB-Macau kekal

Oleh BERNAMA

KERAJAAN Johor akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung keputusan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Berhad untuk menghentikan laluan penerbangan terus Johor Bahru-Macau mulai 1 Ogos ini.

Ini susulan pertemuan membabitkan pihak kerajaan negeri itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung berkata, kerajaan negeri memandang berat keputusan itu dan berharap laluan itu dapat terus dikekalkan bagi menjamin perkembangan industri pelancongan negeri berkenaan.

“Pagi tadi saya telah mengadakan perbincangan bersama Tan Sri Tony Fernandes dan beliau telah memaklumkan bahawa alasan utama penutupan laluan itu adalah kerana ia tidak menjana pulangan kepada syarikat.

“Kerajaan negeri (sebaliknya) menganggap laluan ini penting seperti mana laluan antarabangsa lain kerana kita mahu meningkatkan industri pelancongan negeri ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas selanjutnya, Liow berkata pada mesyuarat sama, Fernandes turut mengetengahkan isu-isu dan kebimbangan pihaknya yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak berkepentingan dan EXCO kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.

“Kita akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara ini selain memastikan laluan antarabangsa lain yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) tidak mengalami nasib sama,” katanya.

Liow turut menegaskan, kerajaan negeri amat komited bagi mempromosikan industri pelancongan dalam negeri dan akan terus mengukuhkan kerjasama bersama AirAsia serta pihak berkepentingan bagi menjayakan usaha berkenaan.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 8:23pm
d