mutakhir

'Berani mu tumbuk polis...'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TIDAK cukup dimaki hamun, dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis cedera selepas ditumbuk sekumpulan lelaki ketika mangsa meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan dalam kejadian di tepi jalan Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu, semalam.

Bukan itu sahaja, seorang daripada mangsa berusia 27 tahun cedera di paha selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Axia dalam kejadian pada 3.25 pagi itu.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakan setugasnya berusia 26 tahun yang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar daerah Kuala Terengganu menerima arahan daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu supaya bergerak ke kawasan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam.

Sumber berkata, dua anggota terbabit diminta ke kawasan berkenaan untuk meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan.

“Ketika cuba meleraikan pergaduhan itu, dua anggota terbabit ditumbuk kumpulan berkenaan.

“Bimbang keadaan semakin teruk, mangsa menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Terengganu bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa sekali lagi cuba meleraikan pergaduhan sebelum dia dilanggar kereta Perodua Axia.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di muka dan badan akibat ditumbuk, selain cedera di paha akibat dilanggar manakala rakan setugasnya menanggung kesakitan di dada akibat ditumbuk.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan penahanan enam individu termasuk seorang wanita berusia 25 tahun.

Katanya, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 9:02pm
d