mutakhir

Penulis lumpuh jatuh berwuduk

Oleh Ihsan Noorzali

Tanjung Malim: Cerpenis terkenal kelahiran Kedah Ahmad J Husein atau nama sebenarnya Ahmad Husin, 65, kini terlantar di sebuah pusat jagaan di Pulau Pinang kerana masalah lumpuh sejak tiga bulan lalu.

Beliau yang juga ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), penulis bebas dan kartunis kini berada di Pusat Penjagaan Bio Ihsan, Jalan Kampung Baru, Juru di Seberang Perai.

Rakan penulis yang juga novelis, Osman Ayob berkata, beliau menerima maklumat itu daripada kakak penulis terbabit, Siti Aminah Husin, 71.

Katanya, sebelum ini Ahmad dijaga kakaknya tetapi dihantar ke pusat jagaan berkenaan supaya penjagaannya lebih terurus kerana kakaknya menjaga suami yang juga lumpuh sejak tiga tahun lalu di Kampung Kembai, Parit Panjang, Baling, Kedah.

Menurutnya, Ahmad yang berasal dari Kampung Surau Bakai, Kuala Ketil, Kedah berpisah dengan isterinya Oktober lalu dan memerlukan RM1,400 sebulan bagi kos di pusat jagaan itu membabitkan tempat tinggal, makan minum, lampin dan ubat-ubatan sedangkan wang pencennya sebagai penjaga stor hanya RM250 sebulan.

“Ahmad lumpuh Februari lalu apabila terjatuh ketika mengambil wuduk di Masjid Kampung Kembai ketika tinggal bersama kakaknya.

“Bagaimanapun, dia masih boleh berkomunikasi,” katanya ketika dihubungi.

Osman berkata, Ahmad antara penulis penting di Kedah yang mempunyai kekuatan dalam dunia penulisan kreatif terutama cerpen kerana memiliki gaya tersendiri dalam penulisannya.

Katanya, Ahmad menggemari tema menyentuh persoalan masyarakat kampung, fahaman politik yang lapuk dan merugikan selain memaparkan kehidupan rakyat bawahan di desa terpencil Bakai, Kuala Ketil dan Baling.

Sehingga kini katanya, Ahmad menghasilkan lebih 100 cerpen yang terkumpul dalam kumpulan cerpen perseorangan seperti Terbalik, Perjalanan Terakhir, Tiada Rahsia Lagi, Noktah Sebuah Perjalanan, Ketika Hujan Renyai-Renyai dan Mimpi Yang Bertaburan.

Rakan penulis atau mana-mana pihak yang mahu memberi sumbangan kepada Ahmad boleh menyumbang terus ke akaun Maybank 152031475789 (Ahmad Husin) atau menghubungi anak saudaranya Abu Mansor Matoridi Ramli di talian 016-4122414.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 5:36am
d