mutakhir

Kaki budak hancur digilis lori

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BUDAK lelaki hancur kaki kanan dan cedera tangan kiri selepas digilis sebuah lori pasir dalam kejadian di Jalan Banggol Cempedak, Kepong, di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Naufal Yazid Mohd Salleh, 8, yang parah masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ).

Kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dalam perjalanan dari arah Serada menghala ke Kepong.

Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang basikal tiba-tiba melintas sebelum basikal itu dilanggar lori berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa dipercayai jatuh ke bawah lori dan digilis kenderaan berkenaan.

“Mangsa yang parah dibawa ke HSNZ, manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 5:38pm
d