mutakhir

Ajal kereta terbabas

Oleh Mohamed Farid Noh

LELAKI maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer 64.2 Jalan Yong Peng-Kluang, berhampiran Jalan Padang Tembak, dekat Kluang, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, mangsa Jurkifli Hassan, 50, dari Kampung Sri Tambak, Kluang, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang menuju ke arah Batu 4 Mersing.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai datang dari arah Bulatan Taman Sri Lambak menuju ke arah Mersing.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Proton Wira dipandu mangsa tiba-tiba terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh tiang elektrik di situ dan terhumban ke dalam gaung," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, ketika kejadian hujan gerimis malah pemeriksaan mendapati tiada lampu jalan di kawasan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 10:52am
d