mutakhir

Terpaksa berhenti kerja jaga ibu

Oleh Mohd Shafuan Khairi

WANITA bisu yang menjadi harapan keluarga bagi menyara hidup mereka terpaksa berhenti kerja demi menjaga ibunya yang lumpuh.

Siti Haslina Abdullah, 25, yang juga ibu tunggal kepada seorang anak berusia empat tahun reda tidak dapat berkerja dan menampung perbelanjaan keluarga kerana menganggap kesihatan ibunya, Esah Tari Omar, 53, lebih utama.

Menurut Siti Haslina, sebelum ini dia berkerja sebagai pembantu kedai makan berhampiran kediamannya di Padang Lati, Bukit Marak, Kota Bharu selepas bercerai dua tahun lalu.

“Saya sangat sedih kerana tak dapat bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi menampung perbelanjaan harian saya, anak dan keluarga.

“Kesihatan ibu lebih utama dan saya reda atas ketentuan Ilahi. Ibu yang tidak bekerja, lumpuh separuh badan selepas jatuh tergelincir lapan bulan lalu.

“Pendapatan ayah sebagai tukang rumah tidak dapat menampung kehidupan kami lima beranak termasuk seorang adik,” katanya.

Siti Haslina berkata, bapanya Abdullah Mamat, 50, memperoleh pendapatan antara RM500 ke RM600 sebulan dan wang itu tidak mencukupi untuk mereka sekeluarga termasuk adiknya Mohd Nor Naka’i, 16, yang masih bersekolah.

“Kesempitan hidup kami memaksa kami mengemis setiap kali tiba Ramadan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Padang Bank di Kota Bharu baru-baru ini.

Esah yang menggunakan kerusi roda berkata, dia sudah memohon bantuan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan tiga bulan lalu namun masih belum menerima jawapan.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 2:27pm
d