mutakhir

Alamak, tersalah masuk gear...

Oleh Siraj Mohd Zaini

ORANG ramai yang sedang berurusan di mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Kuala Selangor digemparkan dengan kejadian kereta secara tiba-tiba merempuh pintu utama premis berkenaan, malam tadi.

Dalam kejadian 10.15 malam itu, kereta Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai tersalah memasukkan gear ā€˜Dā€™ selepas berhenti di hadapan bank berkenaan untuk mengeluarkan wang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab berkata, lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Klang ke Pasir Panjang, Sekinchan dan singgah sebentar untuk berurusan di bank berkenaan.

"Sebaik saja selesai urusannya di bank itu, lelaki itu masuk ke dalam kereta yang di parkir di hadapan bank berkenaan dan sepatutnya mengundurkan kenderaannya namun, dia tersalah memasukkan gear memandu dan menekan pedal minyak.

"Kereta berkenaan kemudiannya meluru ke depan sebelum merempuh pintu utama bank berkenaan," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu pintu kaca bank berkenaan pecah dan kereta terbabit mengalami beberapa kerosakan pada bahagian hadapannya.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 3:45pm
d