mutakhir

Subsidi RM3 bilion kekal harga RON95, diesel

Oleh Hazwan Faisal Mohamad dan Veena Babulal

KERAJAAN akan tetap mengekalkan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing kepada RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter biarpun harga minyak dunia meningkat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga memperuntukkan subsidi untuk bahan api berkenaan sebanyak RM3 bilion sehingga akhir tahun ini.

“Saya telah mengeluarkan kenyataan mengenai RON95, hrganya telah ditetapkan kepada RM2.20 seliter. Harganya dan diesel tidak akan diapungkan mengikut harga pasaran.

“Kita anggarkan subsidi yang akan dibelanjakan untuk kedua-dua bahan api ini ialah kira-kira RM3 bilion. Jumlahnya mungkin kurang bergantung kepada harga minyak dunia.

“Kami tidak boleh memberikan jumlah tepat mengenai subsidi ini kerana harga minyak dunia berubah-ubah setiap minggu, maka perlu tunggu akhir tahun ini untuk mengetahui jumlah sebenar,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai kemungkinan harga minyak RON95 dapat diturunkan lebih rendah jika ada lebihan peruntukan, Guan Eng berkata, agak sukar untuk menurunkan harga bahan api itu kerana harga minyak dunia ketika ini sedang meningkat.

“Sekarang harga minyak naik... nak turun lagi agak sukar sedikit. Sungguhpun harga minyak naik, kita akan terus kekalkan harga diesel dan RON95,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 4:19pm
d