mutakhir

Ahmad Zahid tak minat debat

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“KITA tidak berhasrat untuk mengikut sistem Demokrat atau Republikan untuk mengadakan perdebatan antara calon masing-masing,” tegas calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berhasrat untuk menyahut cabaran berdebat dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjelang pertandingan jawatan Presiden pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Pemangku Presiden UMNO itu berkata, parti itu tidak perlu mengikut sistem Demokrat atau Republikan.

“Acuan politik kita adalah politik keluarga. UMNO adalah parti terbesar orang Melayu jadi eloklah jika kita ada isu, kita raikan perbezaan itu dengan hanya buat di halaman rumah sendiri.

“Kita tidak perlu berkongsi perbezaan pendapat dengan orang lain kerana mereka tidak mahu melihat UMNO sebagai parti yang kukuh,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Majlis Jelajah Aidilfitri di bangunan UMNO, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung cadangan debat yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjelang pertandingan jawatan Presiden UMNO pada 30 Jun ini.

Pelawaan itu disahut oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, isu parti harus diselesaikan secara aman dengan ukhwah dan kekeluargaan.

Pada masa yang sama beliau berkata, kehadiran beliau di Kelantan bukan untuk mendapat sokongan kepadanya sebagai calon Presiden UMNO, sebaliknya semua calon.

“Kita bawa semua calon dan hanya beberapa orang saja yang tidak hadir. Mereka (calon) ada program masing-masing dan bukannya untuk saya saja.

“Kita mahu memperkenalkan calon yang bertanding di peringkat nasional, negeri dan sayap-sayap bagi memperkukuhkan silaturahim antara kepimpinan nasional, negeri, bahagian dan pemimpin di akar umbi,” katanya.

Sementara itu, debat Ku Li dan Khairy dijadualkan pada 29 Jun ini.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 4:34pm
d