mutakhir

Bimbang anak-anak terabai

Oleh Syahid Sokri

IBU tunggal anak lima yang menghidap kanser limfoma tahap empat sejak tahun lalu, bimbang masa depan anak-anaknya terabai berikutan dia tidak mampu lagi berkerja.

Che Wan Mon Omar, 44, berkata, dia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas kematian suaminya sembilan tahun lalu.

"Saya amat bimbang jika terjadi sesuatu kepada saya, masa depan anak-anak tidak lagi menentu kerana saya tidak dapat menyara mereka.

"Paling menyedihkan saya mungkin kehilangan pekerjaan kerana berkerja sebagai pembantu jualan, yang memerlukan saya berdiri dengan jangka masa yang lama," katanya yang mengambil cuti tanpa gaji setahun untuk menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Keadaan menjadi lebih sukar apabila wang simpanan semakin habis digunakan untuk rawatan termasuk kos ulang-alik ke hospital. Malah, saya juga tiada pendapatan sampingan selama mengambil cuti tanpa gaji,” katanya.

Che Wan berkata, penyakitnya mula dikesan selepas mengalami bengkak di leher dan muntah-muntah.

“Tubuh saya rasa berbisa kerana kanser ini sudah menyerang semua organ penting dalam tubuh,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Sayang Sungai Petani, Kammarudin Kassim berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan derma kepada keluarga ini supaya dapat membantu kos sepanjang rawatan.

"Selepas menziarahi keluarga Che Wan, pihak kami selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati, mereka amat memerlukan sokongan kewangan dan moral bagi menghadapi serta melawan masalah kanser berkenaan.

"Saya mewakili NGO yang ada, berharap sedikit bantuan yang akan dihulurkan oleh rakyat Malaysia dapat meringankan beban mereka terutamanya dalam kos ulang alik ke hospital, " katanya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh menghubungi Che Wan di talian 019-5167814.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 5:34pm
d