mutakhir

Drebar bas wanita lalok ditahan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PEMANDU bas ekspres wanita antara 10 pemandu disahkan positif dadah dalam Operasi Pemeriksaan Pemandu Bas di 25 terminal bas di seluruh negara, sejak 8 hingga 19 Jun lalu.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, melalui program keselamatan jalan raya diadakan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka menjalankan ujian air kencing terhadap semua pemandu bas ekspres.

“Sebanyak 2,624 pemeriksaan dijalankan sejak program berkenaan dilancarkan dan 10 pemandu bas didapati positif dadah.

“Semua pemandu berusia 30 hingga 40 tahun itu tidak dibenarkan memandu dan akan digantung lesen,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Terminal Bersatu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur, hari ini.

Abd Halim berkata, semua pemandu bas yang ditahan itu didapati positif dadah jenis methaphetamin, ganja dan opiat.

Beliau berkata, mereka diberi jaminan sementara menunggu keputusan ujian patalogi dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

“AADK akan terus memantau dan menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu bas bagi memastikan semua pemandu bas bebas daripada pengaruh dadah.

“Operasi sama turut diadakan pada tahun lalu dan seramai 14 pemandu bas positif dadah daripada 2,989 pemandu bas yang diperiksa.

“Kami akan terus menjalankan penguat kuasaan di seluruh negara terutama pada musim perayaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 9:03pm
d