mutakhir

Maut 'memotong' tak lepas

Oleh Safuri Kamarudin

PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 18, Jalan Baling -Tanjung Pari, berdekatan Kampung Surau, Mukim Siong, Baling, hari ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa Hassan Remeli, 47, dari Kampung Lubuk Bayu, Siong, maut di tempat kejadian selepas parah.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC datang dari arah Baling dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai memotong sebuah kenderaan namun gagal sebelum bertembung dengan kereta Proton Iswara dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta Proton Iswara, Ismail Tajudin,55, dari Batu 60, Kampung Tanjung Pari, Siong dan dua penumpang berusia 49 dan 44 tahun tidak cedera.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 9:38pm
d