mutakhir

Drebar lori, mat motor positif dadah [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TIGA lelaki membabitkan seorang pemandu lori dan dua penunggang motosikal diberkas selepas didapati positif dadah dalam Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan dan Motosikal sempena Ops Selamat 13/2108 di Jalan Jelapang - Chemor dan Lebuh Meru Raya berhampiran Terminal Amanjaya, Ipoh, hari ini.

Ketiga-tiga pengguna jalan raya itu ditahan hasil sekatan jalan raya dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak.

Operasi diketuai Ketua JSPT Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri itu bermula 12 tengah hari hingga 4 petang membabitkan pemeriksaan semua jenis kenderaan terutama lori dan bas.

Ahmad Adnan berkata, operasi itu bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang termasuk bebas daripada pengaruh dadah serta memandu atau menunggang mengikut peraturan sedia ada.

“Operasi dijalankan lapan pegawai dan 28 anggota JSPT Perak bersama seorang pegawai dan empat anggota AADK Perak dan hasilnya kami mengesan tiga lelaki berusia 24, 29 dan 30 tahun yang positif dadah jenis ganja dan morfin.

“Seorang pemandu kereta berusia 67 tahun turut dikenakan saman mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan cukai jalan kenderaan lain,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, sebanyak 325 kenderaan diperiksa membabitkan 83 bas, 56 lori, 88 kereta, 25 van dan 73 motosikal.

Beliau berkata, sebanyak 170 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, bas tiada alat pemadam api dan sebagainya.

Menurutnya, operasi dijalankan susulan kes kemalangan sebuah bas ekspres di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran Tasik Banding pada Selasa lalu yang mengakibatkan lebih 30 mangsa cedera.

“Susulan kemalangan itu, JSPT Perak menjalankan operasi di JRTB semalam bagi mengesan pengguna jalan raya yang memandu laju di laluan terbabit dan hasilnya 40 saman dikeluarkan termasuk terhadap pemandu bas kerana memandu melebihi had kelajuan dibenarkan.

“Operasi ini bertujuan mengelak berlakunya kemalangan maut terutama membabitkan penumpang bas susulan tindakan pengguna jalan raya termasuk pemandu bas yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 10:51pm
d