mutakhir

'Abang kawasan' minta wang perlindungan ditahan

Oleh Kalbana Perimbanayagam

CUBAAN seorang lelaki untuk mendapatkan wang perlindungan dengan melakukan peras ugut terhadap pengurus kilang menemui padah apabila dia ditahan polis, petang semalam.

Ketika kejadian, suspek bersama dua rakannya datang ke kilang berkenaan di Kawasan Perindustrian Sungai Penaga, USJ 1, Subang Jaya, bagi mendapatkan sejumlah wang daripada pengurus terbabit, yang didakwa mereka sebagai upah menjaga kawasan itu.

Selain menuntut wang, mereka turut melakukan ugutan dan mendakwa mereka mempunyai hubungan baik dengan polis Subang Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Choo Lily, berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 2 petang semalam di restoran di Shah Alam.

Katanya, polis bertindak selepas menerima laporan daripada seorang polis bantuan yang bertugas di kilang terbabit.

“Ketiga-tiga suspek datang ke kilang berkenaan pada jam 9.50 pagi dengan menaiki kereta Toyota Vios dan mereka pergi ke pejabat pengurusan kilang dan meminta pengurus membayar sejumlah wang.

“Pengurus itu meminta anggota polis bantuan untuk mengawal keadaan, namun suspek melakukan ugutan dan maki hamun anggota polis berkenaan.

“Mereka kemudian beredar dengan perasaan tidak puas hati sementara anggota polis bantuan itu membuat laporan polis pada hari sama,” katanya.

Choo Lily berkata, pihaknya sedang memburu dua lagi rakan subahat suspek bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan ugutan.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 9:13pm
d