mutakhir

Datuk lemas, dua cucu hilang

Oleh Mohd Rizal Abdullah

LELAKI warga emas ditemui lemas manakala dua cucu lelakinya masih hilang ketika memancing di tepi dermaga Sungai Baram, Marudi, hari ini.

Mayat, Sujai Jaraee, 72, ditemui terapung di tepi bot ekspres pada 7 pagi, manakala cucunya, Mohd Zafril Wasli, 13, dan Mohd Alyee Ong Zulkifli, 14, masih belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Marudi Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga mangsa ke kawasan itu pada 5.50 pagi untuk memancing.

Beliau berkata, kejadian hanya disedari keluarganya selepas orang awam menemui mayat mangsa terapung di kawasan itu.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Marudi manakala usaha mencari cucu mangsa sedang giat dijalankan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi dan penduduk kampung dilancarkan pada 8 pagi.

“Setakat 4.30 petang tadi, kedua-dua mangsa belum ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Marudi Maureen Sim Ah Lian berkata, operasi SAR agak rumit berikutan tiada penunjuk tepat lokasi mangsa lemas.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi kesukaran kerana tiada saksi kejadian yang ternampak semua mangsa, sebelum salah seorang daripada mereka ditemui lemas.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 9:42pm
d