mutakhir

Sumbang hasil jualan kepada THM [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SEBANYAK RM7,508 hasil daripada jualan makanan oleh peniaga di Pasar Pasit Pinji, Ipoh, hari ini, dikumpul dan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM).

Usaha itu dilakukan 25 peniaga, penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama menjayakan program dijalankan di Jalan Sultan, Pasir Pinji, bermula 7 hingga 11 pagi hari ini.

Kutipan itu kemudian diserahkan oleh wakil peniaga, Oh Cheng Guan kepada Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh.

Kah Woh berkata, program itu adalah sebahagian usaha rakyat yang ingin membantu meringankan beban kerajaan dan pihaknya akan terus menyokong usaha berkenaan dalam sama-sama membantu mengukuhkan semula ekonomi negara.

“Semua peniaga yang terbabit gigih menjual pau dan pelbagai lagi jenis kuih tradisi demi menjayakan program jualan makanan.

“Usaha ini menunjukkan keprihatinan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam mengharungi kemelut ekonomi negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Setakat jam 3 petang semalam, Kementerian Kewangan melalui laman web kementerian itu mengumumkan lebih RM90 juta sudah berjaya dikumpulkan THM hasil sumbangan pelbagai pihak sejak ia dilancarkan 30 Mei lalu.

Penubuhan tabung itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan meringankan beban hutang negara.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 10:12pm
d