mutakhir

Zahid sedia debat dengan syarat...

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sanggup ‘masuk gelanggang’ debat Presiden UMNO bersama dua lagi pesaingnya yang dijadual disiarkan secara langsung untuk dihakimi rakyat dan ahli pada 29 Jun ini.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat yang perdebatan bagi merebut jawatan nombor satu parti itu tidak seharusnya bersandarkan memecahbelahkan UMNO, sebaliknya meraikan perbezaan pendapat.

“Saya nak mengimbau kata-kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa bahawa usah ada perdebatan kerana ini soal rumah tangga dan hal ehwal keluarga, justeru sepatutnya tidak disajikan di depan halaman atau tepi jalan sambil disaksikan mereka yang lalu-lalang.

“€œMereka akan lihat kita ada permasalahan, tapi jika niat (penganjuran debat) bukan meretakkan UMNO sehingga sekurang-kurangnya kepada dua atau tiga kelompok, maka saya sanggup bersiaran di Bagan Datuk,” katanya pada temu bual khas dengan Astro Awani, malam ini.

Ahmad Zahid sebelum ini berpegang kepada pendirian bahawa sebarang penganjuran debat disifatkan tidak sihat dalam merintis usaha membangkitkan roh UMNO yang hampir rebah susulan tumpas mengejut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Cabaran debat Presiden UMNO yang mulanya dilontarkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, pada Selasa lalu, hanya disahut Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin ketika mengadakan sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), keesokan harinya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pendirian untuk tidak berkongsi pentas di studio bersama dua lagi pesaing debat berkenaan adalah selaras tekadnya sebelum ini dalam menyantuni perjuangan di peringkat akar umbi iaitu di kubunya di Bagan Datuk.

“€œSaya pemimpin yang datang dari akar umbi, justeru tidak akan sesekali mengetepikan jemaah kerana amanah di bahu ini adalah untuk mengambil peduli hal ehwal mereka (di Bagan Datuk).

“€œLagipun keesokan harinya (30 Jun) adalah proses pengundian yang akan dijalankan secara serentak, merangkumi peringkat cawangan, bahagian dan nasional, justeru ia penting kepada saya untuk berada dengan jemaah,” katanya.

Menyentuh rentak perubahan digagaskan UMNO, beliau berkata, ‘DNA’ seluruh ahli harus berubah daripada kerajaan kepada pembangkang supaya roh baharu yang akan ditiup dalam parti keramat itu berupaya dibangkitkan semula.

Menyifatkan penjenamaan semula itu bukan tugas mudah, beliau berkata, hakikat ‘pahit’ berkenaan perlu dipahat dalam sanubari masing-masing mulai dari sekarang, bukan mengambil pendekatan untuk terus dibayangi nostalgia dan dibelenggu sindrom penafian.

“€œIni tidak mudah kerana ia membabitkan pertukaran set minda, roh, pendekatan dan aktiviti yang akan dijalankan.

“Kita mungkin berdepan cabaran getir kerana selama ini sentiasa berada dalam zon amat selesa.

“€œApa sekalipun, tanamkan DNA baru ini sekarang kerana kita harus jadi pemantau kepada kerajaan, selain mencerminkan saingan bernafas baharu kepada bekas pemimpin UMNO (yang kini menganggotai parti seteru seperti PKR),” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 11:09pm
d