mutakhir

TPM harap ramai wanita dalam Kabinet

Oleh Fairuz Zaidan

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap lebih ramai wanita diangkat menganggotai baki senarai penuh Kabinet dan jawatan timbalan menteri yang dijangka diumumkan dalam waktu terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, wanita perlu diketengahkan untuk turut bersama-sama berperanan dalam memacu pembangunan negara.

“Memang (pelantikan) itu di bawah kuasa Perdana Menteri, Tun (Dr Mahathir Mohamad). Kita sudah beri nama cadangan, pada masa sama kita akur yang beliau terpaksa mengambil sedikit masa kerana faktor kerjasama membabitkan empat parti.

“Ini kerana kemenangan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu dirasa bersama mengikut rasa kebertanggungjawaban dan amanah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin di Taman Harta Pertama, Bukit Baru, Melaka, malam ini.

Ketibaan Wan Azizah yang juga Presiden PKR pada 8.30 malam disambut Shamsul Iskandar dan isteri, Dr Zakiah Mohd Tahir selain lebih 1,000 penduduk.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Adly Zahari dan barisan EXCO kerajaan negeri Melaka.

Pada 21 Mei lalu, 13 menteri baharu mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Barisan Kabinet itu terdiri daripada Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama tiga menteri kanan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).

Barisan Kabinet lain adalah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran.

Pada 10 Mei lalu, iaitu sehari selepas PRU-14, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 11:33pm
d